Friday, 7 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM I SPM) Karangan Contoh-Membantu Orang Kurang Upaya (OKU)uru

LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KURANG UPAYA(OKU)

ISI –ISI PENTING
1. Ibu bapa mendidik anak-anak supaya tidak menghina Orang Kurang Upaya (OKU)
2. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan dan memberikan kemahiran
3. Pihak swasta menjaga kebajikan OKU
4. Media massa menyampaikan maklumat tentang OKU
5. Setiap individu menunjukkan nilai murni

KARANGAN CONTOH:

Orang Kurang upaya merupakan orang yang kurang bernasib baik.Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat atau mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU).

Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan ingin dihargai,disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata serta tidak mentertawakan apabila berhadapan dengan golongan tersebut. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana .pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas patut dipuji..Jelaslah bahawa, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan’.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan jangan menganggap OKU sebagai beban.Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa, maklumat boleh disalurkan melalui iklan,kempen,dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.

Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

No comments:

Post a Comment