Monday, 10 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM 2 SPM)Prosa Tradisional Pelayaran Penuh Peristiwa

PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA


SET 1

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebaik-baik sauh diangkat Tuanku Nakhoda Tua memerintahkan semua anak geliungnya berhimpun.
“Beta panggil kalian kerana sekarang geliung kita akan meredah kawasan Laut Sekona Lingga. Kawasan ini penuh dengan bajak-bajak laut dengan ketua masing-masing; Sekona Lingga, Panglima Helang Laut, Panglima Kecil Muda Teruna, Panglima Kecil Muda Suara. Seperti yang beta sudah janjikan, barang siapa dapat menyelamatkan beta dan puteri beta daripada serangan bajak laut ini ia akan beta kahwinkan dengan puteri beta ini.”
Seluruh isi geliung terpegun mendengarnya, kecut perut rasanya mendengar banyaknya lanun di laut itu, tetapi jurumudi menyahut,”Ampun Tuanku, patiklah yang akan melawan bajak laut itu semuanya.”
Apabila melintasi perairan Pulau Salah Nama, keluarlah kumpulan lanun datang menyerang geliung panjang. Orang di geliung itu lari ke bawah menyelamatkan diri masing-masing, jurumudi sendiri telah lari lintang-pukang menyelamatkan nyawanya.
“ Pergi kaupanggil budak hitam itu ke mari melawan bajak laut itu!” perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kepada Si Kembang Cinanya
Awang Sulung berhelah , katanya dia hanya layak menjadi penunggu reban dan penyapu rumah saja.

(Dipetik daripada
Pelayaran yang Penuh Peristiwa,
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah maksud rangkai kata kecut perut rasanya. [2 markah]


(ii) Mengapakah Tuanku Nakhoda Tua memerintahkan semua anak geliungnya berhimpun?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda bagaimanakah kegiatan lanun dapat ditangani? [3 markah]




SET 2

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Sesetengahnya terpinga-pinga sambil bertanya-tanya di manakah mereka berada sekarang, tetapi jurumudi pula apabila tersedar segeralah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Dengan kerisnya yang berlumuran darah itu pergilah dia mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua.
“Ampun Tuanku, patiklah yang memelihara geliung ini daripada amuk Tuan Puteri Dayang Nuramah kelmarin.’’
Tuanku Nakhoda Tua yang baru pulih dari mabuknya terpisat-pisat membelek-belek keris jurumudi yang penuh berdarah itu. Fikirnya, sungguh juga kata jurumudi ini, kerana waktu amuk itu berlaku beta jatuh pengsan.
Tiga hari tiga malam lamanya geliung itu berlabuh di Pulau Tapai. Anak-anak geliung bersuka ria dengan pelbagai jamuan. Kemudian Tuanku Nakhoda Tua berkata, ”Jikalau selamat geliung ini sampai ke Tanah Jawa, akan kukahwinkan puteriku Dayang Seri Jawa dengan sesiapa yang menyelamatkannya.
“Ampun Tuanku, patiklah akan menjadi galang gantinya hingga selamat sampai ke Tanah Jawa,sembah jurumudi.
“Sabarlah wahai jurumudi, sekarang kita masih dalam perjalanan, kita belum lepas daripada bahaya yang besar, kerana bajak laut terlalu banyak di lautan depan ini.”

(Dipetik daripada
Pelayaran yang Penuh Peristiwa,
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Nyatakan maksud rangkai kata terpisat-pisat membelek-belek keris.
[2 markah]


(ii) Apakah yang dilakukan oleh jurumudi setelah dia tersedar daripada mabuk?
[3 markah]


(iii) Pada pendapat anda, apakah tujuan jurumudi berbohong kepada Tuanku nakhoda Tua?
[3 markah]





SET 3

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pada ketika itu empat puluh empat orang lanun sedang mencangkuk rombeng geliung panjang itu dengan besi. Awang Sulung pun berseru, “Hai ketua lanun Si Helang Laut, Si Kecil Muda Teruna, Si Kecil Muda Suara yang berkacak di awan-awan dan bergantung di angin lalu, ambillah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jadikan dia penghalau ayam, penyapu rumah atau penggaru belakangmu!”
Mendengar suara itu lanun-lanun mulai gementar. Mereka kenal itulah suara Awang Sulung ,”Hai, baru ini kita kiamat, kita sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri dan kepada diri kita sendiri!”bisik mereka sesama sendiri.
“Ampun Tuanku, patik tidak tahu bahawa Tuanku rupanya di dalam geliung ini,” sembah mereka beramai-ramai dengan tubuh yang gementar.
“Beta tidak beritahukan pelayaran beta pada kalian kerana beta menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya.Lagipun beta telah berhutang kepadanya sebanyak dua puluh lapan rialbatu dan emas sejangka tiga untuk melangsaikan hutang beta kepada Datuk Batin Alam.”
“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku dukacita dengan hutang itu. Sekiranya Tuanku hendak kembali ke Bandar Mengkalih, biarlah patik isikan geliung ini penuh sarat dengan rial batu dan emas.”

(Dipetik daripada
Pelayaran yang Penuh Peristiwa,
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah maksud rangkai kata mulai gementar? [2 markah]


(ii) Mengapakah Awang Sulung Merah tidak memberitahu pelayarannya kepada lanun-lanun itu? [3 markah]


(iii) Pada pendapat anda, mengapakah rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja.
[3 markah]





PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

SET 1

(i) Maksud;

- ketakutan / gementar


(ii) Sebab-sebab;

- geliung mereka akan meredah Laut Sekona Lingga
- kawasan itu penuh dengan bajal-bajak laut / lanun dengan ketua masing-masing
- memaklumkan sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dengan puteri baginda daripada serangan lanun akan dikahwinkan dengan tuan puteri

(iii) Cara-cara;

- menjalankan rondaan di laut
- menguatkuasakan undang-undang / mengenakan hukuman berat
- kapal bersenjata / kapal perang mengiringi kapal-kapal dagang
- tentera laut dari pelbagai negara mengadakan kerjasama menjaga keselamatan



SET 2

(i) Maksud;

- kehairanan mengamati keris / senjata

(ii) Yang dilakukan;

- segera mencabut kerisnya
- menikam seekor ayam
- pergi mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua
- mengakui bahawa dia yang telah menjaga kapal itu daripada amukan Tuan Puteri Dayang Nuramah

(iii) Tujuan;

- mendapatkan pujian
- menunjukkan keberanian / kehebatan
- menarik perhatian tuan puteri / supaya tuan puteri kagum
- mendapat ganjaran / pangkat





SET 3

(i) Maksud;

- berasa takut


(ii) Sebab-sebab;

- Awang Sulung menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya
- Awang Sulung berhutang kepada tuan puteri sebanyak dua puluh lapan rial batu dan emas sejangka tiga
- Melangsaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam


(iii) Pendapat;

- raja berkuasa / berdaulat / pemerintah negara
- melanggar adat / pantang
- akan menimbulkan kekacauan / huru-hara dalam negara
- supaya tidak dihukum

No comments:

Post a Comment