Friday, 7 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM I SPM) Karangan Contoh-Menangani Kenaikan Harga Barang

CARA-CARA MENANGANI KENAIKAN HARGA BARANG

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 54 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, justeru kita masih tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi,negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita bahawa apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh bagai melepaskan batuk di tangga dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kempen Berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Memetik kata-kata azimat Lootze, “kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia kea rah kebinasaan”. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya amalan murni ini dapat dijadikan agenda perdana dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Yang afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi dalam berbelanja dengan mengikut hawa nafsu. Peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menggamit khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa Kempen Berhemat merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.
“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka. Namun, terkadang kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup tersebut terlalu lama sehingga tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka”. Kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat sengaja dipetik bagi menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea,fokus perbincangan ini akan ditumpukan pada peranan organisasi bukan kerajaan atau NGO seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP yang mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan yang semakin parah. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Deduksinya, organisasi seperti ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih,serumpun bak serai dan berpegang pada falsafah Confusius, “Apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama”.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa “Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong”. Kata-kata ini memang berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak kerajaan seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak kerajaan.Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasika seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat menggerunkan golongan peniaga. Tamsilnya, mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali.
“Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu’. Persis kata mutiara Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.Hakikatnya, media massa menggalas kewajipan dalam menangkis masalah inflasi.Sebagaimana yang kita ketahui, ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada di takuk lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang demikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan bantuan pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada organisasi seperti FOMCA dan CAP supaya hak mereka dapat dipertahankan.Tuntasnya, para pengguna, terutamanya suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dalam memperjuangkan hak mereka.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh bahawa segenap lapisan masyarakat mesti menggembleng tenaga bersama-sama untuk mengekang kenaikan harga barangan sehingga ke akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh,kita tidak ajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana pepatah Melayu ada menyebut, yang bulat tak datang bergolek,yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua masyarakat haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Dengan itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat bukan lagi angan-angan mat jenin.

No comments:

Post a Comment