Saturday, 8 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM 2 SPM) Cerpen Memori Seorang Tua

Set 1

Pak Itam mengiring langkah Tuk Mat yang bertubuh sasa itu dengan perasaan yang penuh kesyukuran. Budi Tuk Mat bukan sedikit, kalau Tuk Mat tidak ada, hajat dan niatnya sudah tentu tidak akan tercapai.
Kalau harapkan dia untuk menguruskan segala-galanya,manakan terdaya.Usahkan untuk ke sana dan ke mari, mahu mengheret punggung sendiri pun rasanya sudah tidak terdaya. Tuk Mat dan keluarganya dirasakan sudah jadi bukan orang lain lagi. Rogayahlah yang menjaganya. Halimah anak gadisnya, bersama-sama Rokiah, selang berganti, menghantar nasi dan mengambil kain bajnya untuk dicuci.Yang memeningkan kepala Pak Itam, apabila dibagi duit, baik Tuk Mat, isterinya, Halimah dan Rokiah semuanya menolak. Moga-moga Tuhan sahaja yang akan membalas budi Tuk Mat sekeluarga.
Selepas sembahyang asar, ketika Pak Itam menghulur kepala ke luar tingkap, semua khemah sudah terdiri, kain belon yang berwarna-warni, biru, merah,kuning dan hijau, semuanya ada lapan buah, beralun dan berombak ditiup angin petang
Isa, Latif dan Jali tersengih di bawah khemah dekat busut jantan yang dikelilingi oleh rumpun pohon pisang lemak manis. Mereka berhenti rehat setelah habis menampal dan menyusun atur segala karya dan gambar-gambar Pak Itam di bawah khemah pameran itu.

(Dipetik daripada cerpen “Memori Seoran Tua” karya Zahari Afandi, Harga Remaja, hlm.116)

i. Nyatakan pertolongan yang telah diberikan oleh keluarga Tuk Mat kepada Pak Itam? [ 2 markah ]

ii. Pada pendapat anda, apakah kebaikan yang akan diperoleh jika kita melakukan sesuatu kerja secara bergotong-royong ?.
[ 3 markah ]

iii. Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen dan satu latar masyarakat lain daripada keseluruhan cerpen.
[ 4 markah]

Jawapan (Set 1)

i. - Rogayah telah menjaga Pak Itam
- Halimah dan Rokiah saling berganti menghantar nasi
- Halimah dan Rokiah saling berganti mengambil kain bajunya untuk dicuci
[ 2 markah ]


ii. - Meringankan kerja / tidak membebankan
- Mewujudkan perpaduan
- Mengeratkan silaturahim
- Menambah kenalan / berjumpa dengan rakan baru
- Boleh bertukar-tukar fikiran
[ 3 markah ]

iii. Latar Masyarakat dalam petikan
- Masyarakat yang tolong-menolong
(Tuk Mat sekeluarga sentiasa membantu Pak Itam yang hidup berseorangan)
(Penduduk kampong bekerjasama membuat persiapan bagi menyambut majlis harijadi Pak Itam).

Latar Masyarakat dalam keseluruhan cerpen
- Masyarakat yang cinta akan negara.
(Pak Itam sanggup berkorban dan berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah air dan bangsa yang tercinta)

- Masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain
(Anak-anak Tuk Mat dan penduduk kampung sentiasa menghormati Pak Itam sebagai orang tua)
[ 4 markah ]

Set 2
Pagi masih lagi meredup, suram dan dingin. Dalam kepala Pak Itam,tujuh lapan khemah akan dipasang. Anak-anak Langat bolehlah menjamu selera. Gerai sate ada,teh sarbat ada,cendol,ABC ada,rojak, mi goreng, roti canai, martabak, pisang goreng, nasi kerabu, laksa Johor, laksa Kelantan, ayam percik, semuanya ada.
Budak-budak Kopratasa juga ada untuk menyumbangkan lagu-lagu puisi mereka. Cik Habsah dari Trengganu sudahpun dijemput untuk menyanyikan lagu Ulek Mayang. Budak Zubir dari Pusat Kebudayaan UM juga akan datang bersama-sama gitarnya menyanyi lagu puisi. Aziz H.M dan kumpulan teater Malininya akan mempersembahkan drama mereka. Bagi Pak Itam,makanan untuk fizikal mesti diselaraskan juga dengan makanan kerohanian. Pembangunan sosioekonomi sahaja tidak mencukupi, kiranya kita melupakan hal-hal kebudayaan,hal-hal kesenian bangsa, agama, dan adat resam.
“Tempat letak kereta macam mana?” Pak Itam mendongak lagi ke muka Tuk Mat.
“Semuanya beres, pak, sudah saya siapkan di tanah kosong seberang jalan!” Tuk Mat menjawab cepat.
“Aku tidak mahu, kereta-kereta dan bas-bas tetamu mengganggu lalu lintas, jalan raya itu pun bukan besar sangat!” balas Pak Itam. Dia mesti menghormati undang-undang, dia tidak mahu jalan raya jadi tersumbat kerana kenderaan para tetamu jemputannya. Kalau kita sendiri tidak mahu menghormati undang-undang yang kita buat, siapa lagi? Bukankah dia anak Melayu pertama menjadi majistret di Malaya ini, yang ikut membubar dan mengubah suai undang-undang negara selepas Inggeris pergi.

(Dipetik daripada cerpen “Memori Seorang Tua” karya Zahari Afandi, Harga Remaja, hlm.114-115)


i. Nyatakan dua persediaan yang akan dilakukan oleh Pak Mat semasa menyambut ulang tahun kelahirannya? [ 2 markah ]


ii. Pada pendapat anda, mengapakah penguatkuasaan undang-undang penting bagi sesebuah negara ?. [ 3 markah ]


iii. Nyatakan satu nilai murni yang terdapat dalam petikan cerpen dan satu nilai murni lain daripada keseluruhan cerpen. [ 4 markah ]


Jawapan (Set 2 )

i. - tujuh atau lapan khemah akan dipasang
- Cik Habsah dari Trengganu sudah dijemput untuk nyanyian Ulek Mayang
- budak Zubir dari Pusat Kebudayaan UM akan menyanyikan lagu puisi
- Aziz H.M akan membuat persembahan teater
[ 2 markah ]


ii. - rakyat hidup dalam aman damai / sejahtera
- negara akan dipandang tinggi oleh negara luar / imej tidak terjejas
- mengelakkan sebarang pergaduhan dan pertelingkahan
- masyarakat lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan
[ 3 markah ]

iii. Nilai murni dalam petikan
- Bertanggungjawab
(Pak Itam memastikan Tuk Mat sudah menyediakan tempat meletak kenderaan untuk tetamunya bagi mengelakkan kenderaan mereka daripada menganggu lalu lintas dan melanggar peraturan)

Nilai murni dalam keseluruhan cerpen
- Penyayang
(Pak Itam berasa sayu apabila teringat akan bekas isteri dan anak-anaknya yang telah lama terpisah).

- Semangat Ptriotik / Cinta Akan Negara
(Pak Itam sanggup dipenjaraj beberapa kali demi memperjuangkan nasib bangsa dan tanahairnya)

- Rasional
(Walaupun Pak Itam benci akan penjajah tetapi beliau tidak menghalang pembinaan kilang oleh syarikat Jepun dan Korea)
[ 4 markah ]


Set 3

Perjuangannya adalah untuk memelayukan orang Melayu, memanusiakan manusia, supaya tahu menilai hak, supaya tahu menjaga maruah, supaya tahu, Tanah Melayu ini mesti diterajui oleh orang Melayu, segala harta kekayaan di Tanah Melayu ini dapat diagih-agihkan sama rata dan sama rasa kepada orang Melayu, bukan membuncitkan perut orang lain!.
Tetapi ramai orang Melayu yang tidak tahu jiwanya, tidak mahu mengerti visionnya. Yang Pak Itam terasa sayu, ramai kawannya yang sama-sama pulang dari tanah Inggeris, hidup lebih Orang putih daripada Orang Putih.Pulang ke tanah air sendiri menjadi tukang angguk kepada Inggeris dan memandang jijik kepada anak bangsanya yang tidak berbaju, yang tidak berkasut, yang buta huruf, alif dikatakan batang kayu, A dikatakan kayu pangkah, perut membuncit penuh cacing, pucat lesi diserang demam kura, berkudis, berpanau, dan kebulur tidak cukup makanan. Menunduk kepada Orang Putih meminta sedekah jadi abdi,jadi tukang mandikan anjing Orang Putih. Jadi Unta, jadi Keldai Orang Putih !.
Inilah, orang yang tidak mengerti hati dan perjuangannya. Orang Melayu mesti menjadi tuan di tanah airnya, bukan menjadi unta, menjadi keldai, dan meanjadi tukang mandikan anjing Orang Putih!.

(Dipetik daripada cerpen “Memori Seoran Tua” karya Zahari Afandi, Harga Remaja, hlm.111-112)


i. Mengapakah Pak Itam berasa sayu apabila melihat rakan-rakannya?
[2 markah]


ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mengelakkan negara kita daripada dijajah semula oleh kuasa asing ?.
[ 3 markah ]


iii. Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen dan satu pengajaran lain daripada keseluruhan cerpen.
[ 4 markah]


Jawapan (Set 3)

i. - ramai kawannya yang sama-sama pulang dari tanah Inggeris, hidup lebih dari cara orang
putih sendiri / sombong setelah mendapat pendidikan di Barat
- mereka menjadi tukang angguk kepada Inggeris
- mereka memandang jijik kepada anak bangsanya
[ 2 markah ]


ii. - wujudkan hubungan yang baik dengan negara-negara luar
- rakyat perlu mempunyai ilmu / berpendidikan
- kukuhkan pertahanan dalam negara
- menambah kelengkapan atau peralatan perang yang lebih moden
- tanam semangat cinta akan negara dalam kalangan rakyat / semangat patriotik
[ 3 markah ]

iii. Pengajaran dalam petikan
[ 4 markah ]

- kita hendaklah mempunyai semangat cinta akan negara
(Pak Itam berjuang bermati-matian bagi memastikan bangsa dan tanah airnya tidak dijajah oleh pihak luar)

Pengajaran dalam keseluruhan cerpen
- kita hendaklah mengenang jasa tokoh yang banyak berjasa pada negara
(Tuk Mat dan orang-orang kampung bersungguh-sungguh membantu Pak Itam dalam membuat persiapan majlis hari jadinya.

- Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua
(Anak-anak Tuk Mat dan penduduk kampung sentiasa menghormati Pak Itam sebagai orang tua)
[ 4markah ]

No comments:

Post a Comment