Friday, 7 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM I SPM) Karangan Contoh-Usaha Mempopularkan Pantun

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PANTUN

Bertepatan dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga seakan melupakan pantun yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, pantun turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik lagi efektif bagi mempopularkan genre pantun bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan pantun ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status pantun di bumi tercinta ini.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan dan mempopularkan pantun kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian keranan kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan pantun kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat mempelajari pantun. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka buku-buku berkaitan pantun sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan melafaz pantun melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba melafazkan pantun atau mencipta pantun. Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan genre puisi tradisional ini serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia yang memasukkan pantun dalam Komsas Bahasa Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab atau persatuan yang memberi penekanan kepada puisi tradisional ini.. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara mencipta pantun, dan melafazkan pantun. Setelah mengetahui secara mendalam tentang pantun itu, pelajar akan rasa berminat untuk mempelajari pantun. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Penglibatan pelajar secara langsung dalam penciptaan pantun nescaya dapat mempopularkan pantun di Malaysia daripada membiarkan seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan puisi tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan pantun di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan pantun di negara kita. Selain memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan pantun, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan pantun kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mencipta pantun dan melafazkan pantun,. Melalui proses tersebut, pantun boleh menjadi lebih popular di merata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti pantun semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan pantun. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang berpantun dan mencipta pantun. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak,mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga berpantun. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana rakyat Malaysia masih memiliki budaya berpantun yang tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan menginap di desa dan mereka akan diperdengarkan pelbagai jenis puisi tradisional terutamanya pantun. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan pantun kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan pantun kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan tersebut, semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan puisi tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang menawarkan Piala Sirih Pulang ke Gagang dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan pantun.Terbukti di sini, penganjuran pertandingan sebegini berjaya memperkenalkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk puisi tradisional terutamanya pantun terus lenyap ditelan zaman kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang begitu tinggi nilainya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu, setiap anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran dan mempunyai semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian tersebut.

No comments:

Post a Comment