Sunday 19 February 2012

Tatabahasa (Pola Ayat Dasar)

Nota
Pola Ayat Dasar dalam Bahasa Melayu dapat dipecahkan kepada 4 pola ( berdasarkan predikat ayat), iaitu :

i. Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Cikgu Faridah guru Bahasa Melayu kelas kami.

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Kami sedang belajar Bahasa Melayu bersama cikgu Faridah.

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Cikgu Faridah seorang yang baik hati.

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS)
Cikgu Faridah guru di SMK Taman Universiti 2.


Latihan
Nyatakan pola ayat dasar bagi setiap ayat di bawah.

i. Bunga itu sungguh cantik dan berbau harum.
ii. Jam tangan itu untuk emak sempena hari lahirnya.
iii. Pelajar kelas 5 Budiman sedang mengulangkaji pelajaran.
iv. Kucing peliharaan saya bernama Si Comel.
v. Adik saya sangat comel dan manja.
vi. Kami sekeluarga akan ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.



Skema Jawapan:

i. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA )
ii. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS )
iii. Frasa Nama + Frasa Kerja ( FN + FK )
iv. Frasa Nama + Frasa Nama ( FN + FN )
v. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA )
vi. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS )

Friday 13 January 2012

Azam Tahun Baru 2012

Tahun baru 2012 telah dua minggu bersama-sama kita. Setiap kali tahun baru menjelma pastinya setiap orang bercakap tentang azam yang ingin dilaksanakan menjelang tahun baru.

Azam menjadikan kita bersemangat mengharungi cabaran pada awal tahun baru untuk merealisasikan azam yang telah ditetapkan. Namun semangat dan azam itu biasanya semakin luntur bersama peredaran waktu malah akhirnya terkubur begitu sahaja apabila akhir tahun melabuhkan tirainya.

Ubahlah sikap dan pemikiran kita agar pada tahun ini kita tidak ulangi lagi kesilapan yang sama. Jadikan tahun ini sebagai satu transformasi untuk mengubah paradigma kita agar sentiasa proaktif sepanjang tahun bagi merealisasikan azam kita sebelum tahun 2012 ini menutup tirai dan meninggalkan kita tanpa sempat menggapai azam yang dibina seperti tahun-tahu yang lalu.

Genggamlah prinsip 'Genggam Bara Api Biar Jadi Arang' dan jangan hanya 'Hangat-hangat Tahi Ayam' barulah impian kita akan menjadi realiti......

Wednesday 21 December 2011

Masa Itu Emas

Pejam celik pejam celik cuti sekolah semakin sampai ke penghujung,peperiksaan SPM juga telahpun berakhir.Tanpa disedari MASA begitu cepat berlalu meninggalkan kita. Semoga anak-anak didikku menggunakan MASA yang ada dengan sebaik mungkin kerana MASA yang berlalu tidak akan berulang kembali.

Peribahasa mengatakan "Masa Itu Emas",isilah MASA yang terluang dengan aktiviti yang berfaedah.Jangan bazirkan MASA dengan sia-sia kerana MASA itu sangat berharga. "Demi MASA,sesungguhnya manusia itu didlm kerugian kecuali org2 yg beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dgn kebenaran dan berpesan-pesan dgn kesabaran". (Surah Al-Asr)

MASA tidak akan menunggu sesiapa,kita mesti mengejarnya agar tidak ketinggalan dan kerugian. Hargailah MASA kerana kita tidak tahu berapa lama lagi MASA yang ada untuk kita sebelum tibanya MASA kita dijemput menemuiNya........

Thursday 10 November 2011

Perjuangan Semakin Menghampiri (Khas buat anak-anak didikku di SMKTU2)

Makan tidak kenyang, mandi tidak basah dan tidur tidak lena.....mungkin begitulah situasi yang sedang dihadapi oleh anak-anak didikku yang akan menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin ini (14 November 2011). Hanya tinggal dua hari sahaja lagi anak-anak semua akan menghadapi satu perjuangan yang akan menentukan masa depan kalian.

Segala ilmu telahpun cikgu curahkan dengan seikhlas hati untuk anak-anak didik sekalian, semoga ilmu yang cikgu curahkan itu dapat dijadikan bekalan dan membantu anak-anak untuk menjawab peperiksaan nanti.

Cikgu memahami tekanan yang dihadapi oleh anak-anak didik sekalian untuk menempuh perjuangan yang semakin hampir ini.Berat mata cikgu memandang tetapi berat lagi bahu anak-anak yang memikulnya.Namun begitu, perjuangan mesti diteruskan wahai anak-anak didik sekalian.....
Teruskan langkah mu, jangan gentar...yakinlah kalian mampu mencipta kejayaan.

Cikgu halalkan segala ilmu yang cikgu berikan pada anak-anak sekalian dan segala tingkahlaku yang tidak menyenangkan hati telah lama cikgu maafkan.

Doa cikgu sentiasa mengiringi langkah kalian, semoga semuanya dapat menjawab soalan SPM dengan baik dan berjaya dengan cemerlang dalam SPM 2011.

Tatabahasa ( Membina Ayat) Kata Akronim

Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.


i. pawagam

ii. cerpen

iii. tadika

iv. gimrama

v. taska

vi. cereka






Skema Jawapan


i. pawagam (panggung wayang gambar)
Saya pergi ke pawagam bersama kawan-kawan untuk menonton filem yang baru ditayangkan itu.

ii. cerpen (cerita pendek)
Cerpen yang saya tulis mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan menulis cerpen peringkat sekolah.

iii. tadika (Taman Didikan Kanak-kanak)
Adik saya yang berumur enam tahun belajar di tadika berhampiran rumah saya.

iv. gimrama (gimnastik berirama)
Aishah telah berjaya meraih pingat emas dalam acara gimrama yang disertainya.

v. taska (Taman Asuhan Kanak-kanak)
Ramai kanak-kanak ditinggalkan di taska itu ketika ibu bapa mereka pergi bekerja.

vi. cereka (cerita rekaan)
Cereka yang disiarkan dalam televisyen pada malam tadi mendapat sambutan hangat.

Monday 31 October 2011

Tatabahasa ( Membina Ayat)

Latihan 1

Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah ini untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.


(i) bebola

(ii) jejari

(iii) dedaun

(iv) rerambut

(v) lelaki

(vi) pepohon




Latihan 2

Tulis dua ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah ini untuk menunjukkan anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya.Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.


(i) ketam
(ii) haus
(ii) hangat




Skema Latihan 1

(i) Adik sangat gemar memakan bebola ikan.

(ii)Jejari saya terasa lenguh kerana menulis karangan terlalu panjang.

(iii) Tukang sapu itu sedang menyapu dedaun yang gugur di bawah pokok itu.

(iv) Salah satu ciri mamalia ialah mempunyai rerambut

(v)Lelaki yang kacak itu ayah saya.

(vi) Pepohon tumbuh subur di kebun datuk kerana sentiasa dibaja oleh datuk.



Skema Latihan 2

(i) - Emak membeli sekilogram ketam di pasar.
- Saya ketam permukaan kayu itu sehingga menjadi licin.

(ii)- Saya haus kerana berpuasa hari ini.
- Tapak kasut sekolah saya telah haus kerana telah lama digunakan.

(iii) - Air kopi itu masih hangat ketika dihidangkan.
- Isu pembuangan bayi merupakan isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat.

Tatabahasa (Ayat Songsang)

Latihan 1
Tukarkan ayat bersusunan biasa di bawah kepada ayat bersusunan songsang.

(i) Peserta pertandingan pidato itu sungguh petah berbicara.

(ii)Keropok lekor sangat populor di Terengganu kerana rasanya yang enak.

(iii)Negeri-negeri di Pantai Timur dilanda banjir disebabkan hujan lebat yang berterusan.




Latihan 2
Tukarkan ayat bersusunan songsang di bawah supaya menjadi ayat bersusunan biasa.

(i) Dirobohkan oleh pekerja bangunan lama di pinggir bandar.

(ii)Keadaan banjir semakin surut pemberita melaporkan.

(iii)Pada hari raya pertama kami berkumpul di rumah nenek di kampung.




Skema Latihan 1

(i)Sungguh petah berbicara peserta pertandingan pidato itu.

(ii)Kerana rasanya yang enak, keropok lekor sangat popular di Terengganu.

(iii)Disebabkan hujan lebat yang berterusan, negeri-negeri di Pantai Timur dilanda banjir.



Skema Latihan 2

(i)Bangunan lama di pinggir bandar dirobohkan oleh pekerja.

(ii) Pemberita melaporkan keadaan banjir semakin surut.

(iii)Kami berkumpul di rumah nenek di kampung pada hari raya pertama.