Thursday 10 November 2011

Perjuangan Semakin Menghampiri (Khas buat anak-anak didikku di SMKTU2)

Makan tidak kenyang, mandi tidak basah dan tidur tidak lena.....mungkin begitulah situasi yang sedang dihadapi oleh anak-anak didikku yang akan menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin ini (14 November 2011). Hanya tinggal dua hari sahaja lagi anak-anak semua akan menghadapi satu perjuangan yang akan menentukan masa depan kalian.

Segala ilmu telahpun cikgu curahkan dengan seikhlas hati untuk anak-anak didik sekalian, semoga ilmu yang cikgu curahkan itu dapat dijadikan bekalan dan membantu anak-anak untuk menjawab peperiksaan nanti.

Cikgu memahami tekanan yang dihadapi oleh anak-anak didik sekalian untuk menempuh perjuangan yang semakin hampir ini.Berat mata cikgu memandang tetapi berat lagi bahu anak-anak yang memikulnya.Namun begitu, perjuangan mesti diteruskan wahai anak-anak didik sekalian.....
Teruskan langkah mu, jangan gentar...yakinlah kalian mampu mencipta kejayaan.

Cikgu halalkan segala ilmu yang cikgu berikan pada anak-anak sekalian dan segala tingkahlaku yang tidak menyenangkan hati telah lama cikgu maafkan.

Doa cikgu sentiasa mengiringi langkah kalian, semoga semuanya dapat menjawab soalan SPM dengan baik dan berjaya dengan cemerlang dalam SPM 2011.

Tatabahasa ( Membina Ayat) Kata Akronim

Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.


i. pawagam

ii. cerpen

iii. tadika

iv. gimrama

v. taska

vi. cereka






Skema Jawapan


i. pawagam (panggung wayang gambar)
Saya pergi ke pawagam bersama kawan-kawan untuk menonton filem yang baru ditayangkan itu.

ii. cerpen (cerita pendek)
Cerpen yang saya tulis mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan menulis cerpen peringkat sekolah.

iii. tadika (Taman Didikan Kanak-kanak)
Adik saya yang berumur enam tahun belajar di tadika berhampiran rumah saya.

iv. gimrama (gimnastik berirama)
Aishah telah berjaya meraih pingat emas dalam acara gimrama yang disertainya.

v. taska (Taman Asuhan Kanak-kanak)
Ramai kanak-kanak ditinggalkan di taska itu ketika ibu bapa mereka pergi bekerja.

vi. cereka (cerita rekaan)
Cereka yang disiarkan dalam televisyen pada malam tadi mendapat sambutan hangat.