Showing posts with label Program Jawahir. Show all posts
Showing posts with label Program Jawahir. Show all posts

Sunday, 9 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM 2 SPM) Prosa Klasik Hikayat Siak

Set 1 Hikayat Siak

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dan sampailah di Kuala Johor. Maka orang Johor pun gegerlah, mengatakan, “Tuan kita sudah datang!” Dan mana suku Laksamana, semuanya datang, menghadap baginda. Maka kata orang Johor, “Jikalau betul asal tuan kami, minta tawarkan air yang masin.” Dan titah baginda, “Baiklah.” Dan lalu diambil rotan, dilingkar, dimasukkan ke dalam air. Maka baginda beryang-yang, “Jikalau betul asal dari raja Johor, hendaklah Allah Taala tawarkan air yang masin, menjadi tawarlah.” Lalu dimasukkan ke dalam lingkaran rotan itu. Maka segera diambilnya air itu. Dan, masing-masing minum air itu, sangat tawarnya, lagi sejuk rasanya. Maka segala orang Johor pun bersoraklah, “Ialah, tuanku patik, Tuanku Yang Maha Mulia ini!” Dan banyaklah yang mengikut baginda. Dan baginda pun bertitah kepada segala rakyat, “Hendaklah kamu mengatakan ‘daulat’.”
Maka baginda pun masuk ke Negeri Johor. Maka dibedil orang dari kubu Johor. Maka segala meriam pun keluar air kepada mulut meriam. Satu pun tiada berbunyi. Maka baginda pun mudik, didayungkan oleh segala rakyat, sambil bertimang, berakung, lalu ke Pangkalan Rama, di jambatan dalam. Maka baginda pun melompat naik ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan yang bernama Sepurejab, telah terhunus dari sarungnya.

(Dipetik daripada
‘Hikayat Siak’
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Berikan maksud beryang-yang. .
[ 2 markah ]
(ii) Nyatakan cara baginda menukarkan air masin menjadi tawar. [ 3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, apakah bukti rakyat menunjukkan taat setia kepada pemerintah? [ 3 markah ]




Cadangan Jawapan Set 1 Hikayat Siak
(i) Maksud
- membaca mantera/ memuja sesuatu
[2 markah]

(ii) Cara
- mengambil rotan, dilingkar
- baginda beryang-yang
- dimasukkan lingkaran rotan ke dalam air
[3 markah]
(iii) Bukti
- sentiasa mematuhi arahan/ perintah
- menjaga keamanan negara
- bekerja keras memajukan negara
- menghormati pemerintah
- mematuhi peraturan dan undang-undang
[3 markah]





Set 2 Hikayat Siak

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta, pada waktu itu Raja Bugis pun datang ke Mengkalis, Daeng Parani, dan Daeng Celak, dan Raja Tuha. Lalu ia mendapatkan baginda, kerana sudah berkenalan dengan baginda, tatkala di Bangkah Kota; baginda duduk dengan Sultan Palembang. Dan serta bertemu dengan baginda, lalu berbicara, hendak melanggar Johor. Daeng Parani pun meminta perjanjian, jikalau dapat Johor, baginda menjadi Yang Dipertuan Besar; Daeng Parani menjadi Yang Dipertuan Muda. Sudah putus muafakat , dan Daeng Parani minta hendak pergi ke Langat, dan mengambil segala Bugis yang ada di sana. Dan barang bila esok, hendak pergi menyuruh membawa surat ke Johor kepada Yang Dipertuan Johor mengatakan, paduka anakanda hendak menuntut kematian Marhum Mangkat Dijulang. Dan jikalau kota yang buruk, suruh baiki kota; yang parit tohor, suruh dalamkan.
Dan serta sampai surat itu ke Johor, maka Yang Dipertuan Johor pun mengampungkan segala orang besar-besar, muafakat, menyuruh membaiki kota, parit. Dan sudah masyhur khabar itu, mengatakan anak Marhum Mangkat Dijulang sudah keluarlah; segala rakyat pun datang, dibawa oleh Raja Negara Selat. Dan serta sampai, bertemu dengan Yang Dipertuan di Mengkalis, mengatakan tuan dari Johor. Dan segala Minangkabau mengatakan tuan dia, datang dari Minangkabau.
Hatta, lalu berkelahi. Maka titah baginda, “Janganlah engkau berkelahi, sama-sama bekerjalah.” Dan baginda pun menyiapkan perahu, kecil besar. Setelah sudah, sampailah ketika yang sempurna, maka baginda pun berangkat ke Johor. Dan segala rakyat Selat, dan segala yang di lahut, semuanya mengiringkan baginda.

(Dipetik daripada
‘Hikayat Siak’
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Berikan maksud mengampungkan segala orang besar-besar.
[ 2 markah ]
(ii) Apakah perjanjian yang dibuat antara baginda dengan Daeng Parani? [ 2 markah ]
(iii) Berikan kebaikan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan? [ 4 markah ]




Cadangan Jawapan Set 2 Hikayat Siak

(i) Maksud
- mengumpulkan semua pegawai

[2 markah]
(ii) Perjanjian
- Jika Johor berjaya ditawan, baginda menjadi Yang Dipertuan Besar dan Daeng Parani menjadi Yang Dipertuan Muda

[2 markah]

(iii) Sebab
- kerja yang susah akan menjadi mudah
- kerja dapat disempurnakan dalam masa yang singkat
- dapat mengeratkan tali silaturahim
- memupuk semangat bertolak ansur
- menjamin keharmonian
- wujud masyarakat yang bersatu padu
- hasil yang diperoleh dapat dinikmati bersama-sama
- dapat berkongsi idea
[4 markah]



Set 3 Hikayat Siak
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syahadan, akan Yamtuan Muda pun mengamuk. Anak bininya habislah mati dibunuhnya. Tinggal seorang anaknya, perempuan. Niat hatinya, sudah habis mati anak bininya, hendak mengamuk ke dalam kota. Serta sudah ia membunuh anak isterinya, datanglah takut hatinya, lalu ia terjun, lari ke hutan kayu onak. Ia bersembunyi. Akan Yang Dipertuan Besar, “Tiada aku mahu lari, kerana besar sangat dosaku membunuh ayahanda baginda. Dan baiklah aku serahkan nyawaku, mana dengan perintah Yang Dipertuan.” Maka ia pun datang, dengan tiada berbulang dan tiada berkeris, persembahkan nyawa. Maka titah baginda kepada hulubalang baginda, “Tiada patut, orang sudah menyerahkan nyawanya kepada kita, tiada patut kita bunuh.” Dan tiada dibunuh baginda.
Maka orang pun datang membawa khabar, mengatakan Yamtuan Muda sudah membunuh anak isterinya. Maka titah baginda kepada Bendahara, “Akan sekarang bagaimana bicara ayah, mahukah mengikut bicara sahaya? Maka sembah Bendahara, “Mana titah patik junjung.” Titah Raja Kecil, “Dan kepada fikir sahaya, ayah hendak sahaya jadikan ayah kembali, jadi Bendahara.” Akan Yamtuan Muda, disuruh bunuh oleh Bendahara, sebab derhaka membunuh anak isterinya, tiada dengan izin baginda. Dan akan bonda baginda, Encik Apung, kembali ke rahmatullah taala, tiada sempat berpandangan dengan baginda.

(Dipetik daripada
‘Hikayat Siak’
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Berikan maksud kembali ke rahmatullah taala. .
[ 2 markah ]
(ii) Mengapa baginda tidak membunuh Yang Dipertuan Besar? [ 3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, apakah kebaikan pemerintah bersikap adil terhadap rakyatnya? [ 3 markah ]





Cadangan Jawapan Set 3 Hikayat Siak

(i) Maksud
- meninggal dunia

(ii) Sebab
- Yang Dipertuan Besar telah sedar akan dosanya membunuh ayahanda baginda
- Yang Dipertuan Besar telah datang menyerahkan nyawanya
- Yang Dipertuan Besar datang tiada berbulang dan tiada berkeris
- Yang Dipertuan Besar akan menurut perintah baginda

(iii) Kebaikan
- supaya rakyat berpuas hati
- supaya rakyat percaya akan kewibawaan ketua
- menjalin hubungan erat antara pemimpin dengan rakyat
- rakyat akan menyanjungi pemerintah

Wednesday, 5 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM I) Karangan Contoh-Mempopularkan Permainan Tradisional

20. USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Bertepatan dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga seakan melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenal serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian keranan kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti permainan congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga,bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan rasa berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tradisional di Malaysia daripada membiarkan seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan sebagainya. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih popular di merata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak,mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan menginap di desa yang mana mereka akan diajar cara-cara bermain tradisional seperti gasing, galah panjang dan teng-teng. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding dan ’berlaga’ untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta bersedia melakukan pecutan akhir ke arah negara maju 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk merialisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!.