Sunday, 19 February 2012

Tatabahasa (Pola Ayat Dasar)

Nota
Pola Ayat Dasar dalam Bahasa Melayu dapat dipecahkan kepada 4 pola ( berdasarkan predikat ayat), iaitu :

i. Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Cikgu Faridah guru Bahasa Melayu kelas kami.

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Kami sedang belajar Bahasa Melayu bersama cikgu Faridah.

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Cikgu Faridah seorang yang baik hati.

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS)
Cikgu Faridah guru di SMK Taman Universiti 2.


Latihan
Nyatakan pola ayat dasar bagi setiap ayat di bawah.

i. Bunga itu sungguh cantik dan berbau harum.
ii. Jam tangan itu untuk emak sempena hari lahirnya.
iii. Pelajar kelas 5 Budiman sedang mengulangkaji pelajaran.
iv. Kucing peliharaan saya bernama Si Comel.
v. Adik saya sangat comel dan manja.
vi. Kami sekeluarga akan ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.



Skema Jawapan:

i. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA )
ii. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS )
iii. Frasa Nama + Frasa Kerja ( FN + FK )
iv. Frasa Nama + Frasa Nama ( FN + FN )
v. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA )
vi. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS )

Friday, 13 January 2012

Azam Tahun Baru 2012

Tahun baru 2012 telah dua minggu bersama-sama kita. Setiap kali tahun baru menjelma pastinya setiap orang bercakap tentang azam yang ingin dilaksanakan menjelang tahun baru.

Azam menjadikan kita bersemangat mengharungi cabaran pada awal tahun baru untuk merealisasikan azam yang telah ditetapkan. Namun semangat dan azam itu biasanya semakin luntur bersama peredaran waktu malah akhirnya terkubur begitu sahaja apabila akhir tahun melabuhkan tirainya.

Ubahlah sikap dan pemikiran kita agar pada tahun ini kita tidak ulangi lagi kesilapan yang sama. Jadikan tahun ini sebagai satu transformasi untuk mengubah paradigma kita agar sentiasa proaktif sepanjang tahun bagi merealisasikan azam kita sebelum tahun 2012 ini menutup tirai dan meninggalkan kita tanpa sempat menggapai azam yang dibina seperti tahun-tahu yang lalu.

Genggamlah prinsip 'Genggam Bara Api Biar Jadi Arang' dan jangan hanya 'Hangat-hangat Tahi Ayam' barulah impian kita akan menjadi realiti......